Assalamualaikum ..
Hidup di muka bumi ini adalah anugerah Allah s.w.t. yang sangat berharga
kepada manusia. Hidup juga adalah ujian-Nya kepada manusia. Allah
s.w.t. menjelaskan dalam surah al-Mulk ayat 2 bahawa Dialah Tuhan yang
Menciptakan hidup dan mati sebagai ujian kepada manusia. Ujian inilah
yang membezakan sama ada sesuatu golongan beramal dengan sebaik-baik
amalan atau tidak.
Sifat orang Mukmin dirakamkan dalam firman Allah Taala, maksudnya: "Dan janganlah kamu berasa lemah dan berdukacita (terhadap apa-apa yang akan menimpa kamu). Padahal kamulah orang yang tertinggi jika kamu orang yang (sungguh-sungguh) beriman." (Surah Ali 'Imran 3: 139)
Mengapa Musibah?
Setiap perkara yang berlaku dalam hidup kita ada hikmah sama ada disedari atau tidak dan tahu atau tidak. Allah s.w.t. telah menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 155 bahawa Dia pasti akan menguji manusia:"Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh), (dengan merasai) kelaparan serta (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda, jiwa dan hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang yang bersabar."
Apabila Allah Taala menyatakan "berilah khabar gembira kepada orang yang bersabar.", ini menunjukkan musibah yang dihadapi bertujuan membezakan antara orang yang dapat bersabar dengan tidak.
Sabar adalah prinsip hidup orang beriman. Inilah hikmah besar di sebalik ujian daripada Allah. Memahami dan merenungi hikmah besar di sebalik ujian daripada Allah. Memahami dan merenungi hikmah ini adalah sebahagian daripada akidah Muslim kerana membantu memperkuatkan kepercayaan kepada qadak dan qadar Allah. Malahan, seseorang itu mendapat musibah yang lebih besar jika hikmah ini tidak difahami dengan baik.
Firman Allah Taala yang bermaksud: "Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, padahal ia baik bagi kamu. Boleh jadi juga kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah 2: 216)
Dengan itu, ia dapat mengurangkan rasa duka yang datang akibat musibah. Dengan kata lain, kebaikan yang ada pada sesuatu yang kita benci menjadi sesuatu yang disukai kepada kita. Inilah suka dalam duka yang menjadi hikmah besar dalam setiap musibah duniawi.
Objektif Kewajipan Sabar
Sabar adalah perintah Allah dan sudah pasti ia mempunyai maqasid.
Mengapa Allah memerintahkan manusia supaya bersabar? Malangnya, ada
segelintir manusia yang suka mengeluh dan menyalahkan takdir apabila
ditimpa musibah lalu berkata: "Mengapa aku ditimpa masalah ini? Mengapa
musibah ini aku seorang sahaja yang dapat?"
•Menahan lidah daripada mengadu.
•Menahan anggota daripada melakukan dosa dan maksiat.
Apabila seseorang itu bersabar, dia akan mendapat hikmah berikut:
•Mihnah iaitu ujian menjadi minhah iaitu kurniaan Allah Taala.
•Bala menjadi pemberian.
•Perkara yang didukai menjadi yang disukai.
Sebagai hamba Allah, kita wajib melaksanakan 'ubudiyyah kepada-Nya sama ada ketika susah atau senang. Antara contoh 'ubudiyyah bagi kedua-dua keadaan ini ialah:
•Mengambil wuduk dengan air yang sejuk ketika cuaca sangat panas atau terlampau sejuk.
•Bergurau senda dengan isteri.
•Memberi nafkah kepada isteri, diri sendiri dan ahli keluarga.
•Bersabar ketika mendapat musibah meskipun tidak memperoleh keuntungan di dunia.
Suka dalam Duka
Apabila kita terlalu berduka dengan musibah yang menimpa ia pasti merobekkan iman yang ada. Carilah suka di sebalik duka dengan mengamalkan cara hidup orang beriman saat menghadapi ujian. Antara perkara yang perlu dilakukan oleh seseorang Muslim apabila berhadapan dengan musibah ialah:1. Ucapan istirja'
Islam mengajar kita supaya melafazkan istirja' (inna lillah wa inna ilaih raji'un) sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 155-156. Segelintir orang menyangka lafaz ini hanya perlu disebut ketika berlaku kematian, padahal ia disunatkan ketika berlaku apa-apa jua musibah sama ada kecil atau besar.
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda, maksudnya: "Hendaklah kamu mengucapkan istirja' dalam semua perkara sehingga dalam perkara terputus tali selipar seseorang kerana ia termasuk dalam musibah."
2. Aplikasi doa Rasulullah
Berdoalah dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: "Ya Allah berilah pahala kerana musibahku ini dan gantilah bagiku sesuatu yang lebih daripada."
Ummu Salamah berkata: "Tatkala Abu Salamah meninggal dunia, aku membaca doa ini sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Lantaran itu, Allah menggantikan kepadaku seseorang yang lebih baik daripada Abu Salamah iaitu Rasulullah s.a.w." (Sahih Muslim)
3. Tidak mendoakan keburukan
Jangan melafazkan kata-kata buruk seperti memaki hamun, memarahi takdir dan mendoakan keburukan.
Ketika Abu Salamah meninggal dunia, matanya terbeliak. Lalu Rasulullah s.a.w. menutup mata Abu Salamah sambil bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya apabila roh dicabut, mata akan mengekorinya."
Orang ramai di sekeliling membuat bising. Nabi pun bersabda, maksudnya: "Janganlah kamu mendoakan keburukan atas dirimu, tetapi doakan kebaikan. Sesungguhnya para malaikat sedang mengaminkan ucapan kamu sekarang."
Kemudian, Nabi mendoakan keampunan untuk Abu Salamah.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment